Dua kanak-kanak terbunuh dan beberapa orang awam cedera pada Sabtu apabila pesawat perang Israel mengebom Sekolah Al-Mu’tasim, yang menempatkan orang kehilangan tempat tinggal dekat Stadium Yarmouk di bandar Gaza, lapor Agensi Berita & Info Palestin (WAFA).
Tentera Israel melakukan operasi pengeboman berterusan terhadap bangunan kediaman di bandar Gaza, manakala dron melancarkan beberapa serbuan ke atas kejiranan Al-Sabra di barat laut bandar itu, serentak dengan tembakan berat dan letupan bom kereta di barat laut.
Pesawat perang Israel juga melancarkan beberapa siri serbuan di kawasan Tal al-Hawa di barat daya bandar Gaza, manakala artilerinya menyasarkan kawasan utara kem pelarian Al-Bureij di tengah Jalur Gaza.
Tentera Israel melepaskan tembakan ke arah orang ramai yang menunggu bantuan dekat persimpangan Netzarim di tengah Jalur Gaza, dan pesawat Israel mengebom sekitar syarikat elektrik di kem pelarian Nuseirat, menyebabkan kerosakan besar pada kemudahan itu.











