Elak riyak dalam ibadat

Ibadat dilakukan mesti ikhlas kerana Allah – Foto hiasan Unsplash

Riyak ialah memperlihat-lihatkan, menonjol-nonjolkan ataupun mempamerkan amalan soleh atau amalan berbentuk ibadat kepada makhluk dengan tujuan untuk mendapat tempat di hati mereka.

Berdasarkan nas al-Quran dan hadis, ulama sependapat bahawa riyak hukumnya haram, termasuk dalam kesalahan dosa besar yang merosakkan nilai amalan ibadat.

“Sesiapa yang keadaan usahanya semata-mata berkehendakkan kehidupan dunia dan perhiasannya (dengan tidak disaksikan sama oleh al-Quran mengenai sah batalnya), maka Kami akan sempurnakan hasil usaha mereka di dunia dan mereka tidak dikurangkan sedikit pun padanya.” (Surah Hud, ayat 15)

Setiap amal ibadat yang dilakukan dengan tujuan riyak adalah binasa dan terhapus nilai pahalanya di samping ia boleh menyebabkan dosa. Namun, nilai dosa itu berbeza-beza mengikut perbezaan peringkat ibadat yang menjadi bahan dalam riyak serta berbeza mengikut kelainan tujuan riyak dan peringkat tujuannya.

JENIS RIYAK

1. Riyak yang jelas.

    Yang menjadi pendorong kuat dan jelas kepada amal ibadatnya ialah riyaknya. Kalau tidak dorongan riyaknya, sudah tentu dia tidak melakukan amal ibadatnya.

    2. Riyak yang tersembunyi dan tidak jelas.

    Kalau kerana riyak saja sudah pasti dia tidak melakukan ibadat. Contohnya seorang yang biasa bangun malam untuk solat tahajud, cuma kadangkala dia berasa malas untuk solat. Tetapi kerana ada tetamu dan tetamu itu pula telah bangun malam untuk tahajud menyebabkan dia ringan untuk bangun solat. Jadi, solatnya didorong sedikit oleh riyak yang tidak jelas.

    Riyak yang tidak jelas ini tidak membatalkan asal pahala walaupun menjejaskan pahala amalnya mengikut kadar riyak individu itu.

    3. Riyak yang lebih tersembunyi dan amat samar.

    Riyak ini bukan yang mendorong amal ibadat atau yang boleh berasa mudah dan ringan untuk beramal ibadat. Namun, sifat riyak itu ada terpendam di dalam dirinya. Riyak ini hanya dikenali melalui tandanya.

    Antara tandanya ialah berasa suka dan bangga dengan pujian. Mungkin seseorang itu benar-benar melakukan ibadat secara ikhlas tanpa dorongan riyak, malah membenci dan tidak menyukainya sehinggalah ibadatnya selesai dilakukan dengan sempurna.

    Namun apabila amalannya itu diketahui orang, dia berasa gembira. Jika gembira itu semata-mata gembira sebagai suatu tabiat semula jadi manusia, lebih-lebih lagi dia tidak mengharapkan supaya ibadat atau amalnya itu diketahui orang, maka yang seperti ini tidak merosakkan amal.

    Tetapi jika dia berasa suka dan sememangnya dia mengharapkan supaya diketahui orang, maka riyak ini ditakuti boleh merosakkan pahala amalnya.

    Malah ada yang lebih tersembunyi daripada itu yang hanya dapat disedari oleh mereka yang halus dan bersih hatinya.

    Semuanya ini adalah untuk menjelaskan betapa perlunya kita sentiasa berwaspada. Jika sudah berjaya mengatasi riyak yang jelas, janganlah mengambil mudah dengan riyak yang lebih halus.Jika sudah berjaya di peringkat ini, janganlah pula berasa diri telah terselamat daripada segala bentuk riyak.

    Rujukan/sumber: Buku Akhlak dan Tasawuf