Gempa bumi berukuran 6.3 magnitud melanda dekat bandar Mazar-e Sharif di utara Afghanistan awal pagi Isnin, membunuh sekurang-kurangnya tujuh orang dan mencederakan kira-kira 150 orang, lapor Reuters memetik pihak berkuasa wilayah pada Isnin.
Kajian Geologi AS (USGS) dilaporkan berkata gempa bumi itu melanda pada kedalaman 28 km (17.4 batu) dekat Mazar-e Sharif, yang mempunyai penduduk kira-kira 523,000 orang.
“Seramai 150 orang cedera dan tujuh orang terkorban telah dilaporkan dan dipindahkan ke pusat kesihatan setakat pagi ini,” Samim Joyanda, jurucakap jabatan kesihatan di Samangan, sebuah wilayah pergunungan utara dekat Mazar-e Sharif dilaporkan berkata kepada Reuters.
Angka kematian adalah berdasarkan laporan hospital yang dikumpul setakat pagi Isnin, dia dilapor berkata.
Menurut Reuters, USGS mengeluarkan amaran oren dalam sistem PAGER, iaitu sistem automatik yang menghasilkan maklumat mengenai kesan gempa bumi, dan menunjukkan bahawa “kemungkinan besar korban jiwa dan bencana itu berpotensi meluas”.











