Gunung berapi yang lama tidak aktif meletus di utara Ethiopia pada hujung minggu, menghantar kepulan abu merentasi Laut Merah ke arah Yaman dan Oman, lapor AP.
Gunung berapi Hayli Gubbi di wilayah Afar di Ethiopia dilapor meletus pada pagi Ahad, menyebabkan kampung jiran Afdera diselaputi debu.
Seorang pentadbir tempatan, Mohammed Seid, dilapor berkata tiada kemalangan jiwa berlaku, namun letusan itu boleh memberi implikasi ekonomi kepada komuniti penggembala ternakan tempatan.
Seid dilapor memberitahu The Associated Press (AP) bahawa tidak ada rekod sebelumnya mengenai letusan oleh gunung berapi Hayli Gubbi, dan dia bimbang dengan mata pencarian penduduk.
“Walaupun tiada nyawa manusia dan haiwan ternakan terkorban setakat ini, banyak kampung telah diselaputi abu dan akibatnya haiwan mereka kurang makan,” dia dilapor berkata.
Menurut AP, Pusat Nasihat Abu Gunung Berapi Toulouse di Perancis juga melaporkan letusan itu, yang diperhatikan pada imej satelit.
Menurut AP, wilayah Afar terdedah kepada gempa bumi dan seorang penduduk, Ahmed Abdela, berkata dia mendengar bunyi kuat dan apa yang disifatkannya sebagai gelombang kejutan.
“Rasanya seperti bom tiba-tiba dilemparkan dengan asap dan abu,” dia dilapor berkata.
Kampung berhampiran padang pasir Danakil, yang menjadi tarikan pelancong, masih diselaputi abu pada Isnin dan pelancong serta pemandu yang menuju ke padang pasir itu terkandas di kampung itu, menurut Abdela.











