Seorang guru besar sebuah sekolah ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) selepas disyaki menyeleweng dana sebuah yayasan yang sepatutnya digunakan untuk membantu kumpulan rakyat B40 melalui program MyKasih, di Selangor, lapor BH Online.
Menurut BH Online, difahamkan wanita berusia sekitar 50-an itu menggunakan kedudukannya sebagai guru besar untuk melakukan perbuatan berkenaan.
Suspek menurut laporan itu, dipercayai melakukan perbuatan itu pada 2021 membabitkan penyelewengan dana berjumlah kira-kira RM16,000.
Perbuatan suspek terbongkar dan disiasat oleh sepasukan anggota SPRM Selangor susulan laporan diterima daripada orang awam dan pihak berkepentingan.
Dana itu dikatakan daripada sebuah organisasi kebajikan dan tanpa keuntungan yang ditubuhkan untuk memberi makan golongan miskin serta bantuan melalui pendidikan dan latihan.
Pengarah SPRM Negeri Selangor, Mohd Azwan Ramli dilaporkan mengesahkan siasatan dilakukan oleh pihaknya mengikut Seksyen 23 ASPRM 2009.












