Kumpulan Palestin Hamas berkata pada Khamis, ia akan menyerahkan mayat dua tebusan Israel petang ini di bawah perjanjian gencatan senjata, berita Anadolu melaporkan.
Sayap bersenjata kumpulan itu, Briged Qassam, berkata dalam satu kenyataan di Telegram bahawa mayat-mayat itu akan dipindahkan pada jam 4 petang waktu tempatan (1400GMT).
Menurut Anadolu, penyiar awam Israel KAN sebelum ini melaporkan bahawa persediaan sedang dilakukan untuk menerima dua mayat daripada Hamas dalam beberapa jam akan datang.
Hamas setakat ini dilaporkan telah membebaskan 20 tawanan Israel yang hidup dan memindahkan mayat 17 daripada 28 tawanan, kebanyakannya warga Israel, di bawah fasa pertama perjanjian gencatan senjata.
Walau bagaimanapun, Tel Aviv mendakwa salah satu mayat itu bukan milik mana-mana tawanannya.
Gencatan senjata itu berkuat kuasa pada 10 Oktober di bawah pelan 20 perkara Presiden AS Donald Trump.











