Wanita dan lelaki saling memerlukan. Kedua-duanya menjadi pelengkap dalam mencapai kesempurnaan. Masing-masing mempunyai peranan dan memberikan sumbangan dalam memastikan kelangsungan tamadun manusia ini berterusan.
Apabila sedar kenyataan itu, anda sebagai lelaki sudah tentu memberikan layanan yang baik kepada wanita, bertolak ansur, menghormati, melindungi dan mengasihi mereka.
Malah, anda tidak melakukan sesuatu yang melukakan hati wanita, mengasari dengan apa-apa cara sekalipun, merendah-rendahkan maruah, mengeksploitasi, memperdagangkan ataupun mencagarkan wanita demi kepentingan tertentu.
WANITA SEBAGAI ISTERI
Dalam hubungan suami isteri, al-Quran menggambarkan kemuncak kekuatan ikatan suci ini sebagaimana dijelaskan pada surah al-Baqarah, ayat 187 bermaksud: “Isteri-isteri kamu itu adalah sebagai pakaian bagi kamu dan kamu pula sebagai pakaian buat mereka.”
Suami dan isteri mempunyai hak tertentu yang mesti dijaga dan dilaksanakan. Tidak boleh dilalaikan atau disia-siakannya. Semua hak itu saling berpadanan, melainkan mana-mana yang dikhususkan kefitrahan hidup buat lelaki saja atau wanita sahaja.
Hal ini seperti dijelaskan menerusi firman-Nya, antara lain bermaksud: “Dan isteri-isteri itu mempunyai hak yang sama seperti kewajipan yang ditanggung oleh mereka (terhadap suami) dengan cara yang sepatutnya (dan tidak dilarang oleh syarak). Dalam pada itu, orang-orang lelaki (suami-suami itu) mempunyai satu darjat kelebihan atas orang-orang perempuan (isterinya).” (Surah al-Baqarah, ayat 228)
Firman-Nya pada surah an-Nisa, ayat 19 bermaksud: “Dan bergaullah kamu dengan mereka (isteri-isteri kamu itu) dengan cara yang baik…”
MASALAH TALAK
Dalam kitab fiqah, perbahasannya panjang. Memadailah pada kesempatan ini dinukilkan ulasan Sheikh Dr Yusuf al-Qardawi yang menegaskan talak adalah jalan terakhir dalam perdamaian suami isteri selepas semua usaha tidak berjaya.
Menurutnya, ia untuk memenuhi kehendak keadaan dan menyahut seruan darurat atau keperluan dan untuk menghuraikan kemusykilan yang tidak dapat dirungkaikan, melainkan dengan perpisahan di antara suami dan isteri itu secara baik.
“Islam membolehkan mengambil jalan ini dalam keadaan terdesak dan terpaksa kerana itulah Islam tidak menganjurkan dan tidak menyukainya (talak atau perceraian),” katanya dipetik daripada karyanya Halal dan Haram dalam Islam.
Abu Daud meriwayatkan Nabi SAW bersabda mafhumnya: “Seburuk-buruk perkara halal di sisi Allah ialah talak.”
Satu lagi riwayatnya: “Tidak ada sesuatu yang dihalalkan Allah yang sifatnya sangat buruk sekali lebih daripada talak.”
Mengenai talak atau perceraian tiga secara sekali gus, al-Qardawi berkata: “Orang Muslim yang menggugurkan talak isteri tiga talak sekali gus dalam satu masa dan dengan satu lafaz, sebenarnya orang itu menentang Allah dalam syariat-Nya dan dia juga menyimpang dari jalan Islam yang lurus.”
Menurut satu berita yang sahih bahawa Rasulullah SAW dalam satu peristiwa pernah diberitahu mengenai hal seorang lelaki yang mentalak isterinya dengan talak tiga sekali gus.
Apabila mendengar berita itu, Rasulullah ternyata marah lalu berkata: “Apakah dia (lelaki itu) berani mempermainkan Kitab Allah (al-Quran), padahal aku masih berada di hadapan mata kamu?”
Lalu berdiri seorang lelaki dan berkata: “Wahai Rasulullah! Apakah boleh saya membunuhnya?” (Riwayat Nasai)
BERSUMPAH HENDAK TALAK
Menurut al-Qardawi lagi, tidaklah dibolehkan bagi Muslim menjadikan talak isterinya dalam sumpahnya hendak membuat begini atau begitu, ataupun dia mengancam dengan sumpah talak terhadap isterinya yakni jika isterinya membuat begini atau begitu, maka dia tertalak.
Malah katanya, orang yang mencari kepuasan nafsu dan suka mentalak isteri, perkara itu tidak disukai Allah dan Rasul-Nya.
Hal ini sebagaimana sabda Baginda SAW mafhumnya: “Aku tidak suka lelaki-lelaki yang suka kahwin cerai dan wanita-wanita yang suka kahwin cerai.” (Riwayat Tabrani dan Daruqutni)
Berkata Ibnu Abbas RA: “Bahawasanya dibenarkan talak itu apabila ada keperluan.”
Justeru, bagi suami-suami janganlah bersikap ambil mudah dalam hal talak. Usah terpengaruh dengan emosi atau pihak tertentu sampai sanggup meruntuhkan rumah tangga, membuatkan kehidupan keluarga porak-peranda.
Hargailah pasangan anda, hormati ikatan suci perkahwinan dan hadirkan rasa terima kasih kepada isteri anda iaitu ibu kepada anak-anak anda. Dari hari ke hari, kita seharusnya berazam dan berusaha memupuk kasih sayang, menyuburkan lagi institusi keluarga kita.











