Setiap tindakan ataupun gerak-geri manusia, bahkan sikap dan emosinya berpunca daripada hati. Dimaksudkan di sini bukanlah hati jasmani tetapi hati rohani.
Menurut Islam, hati atau kalbu (daripada istilah Arab, ‘qalb’) manusia inilah yang menjadikan seseorang itu hidup dengan kehidupan yang sebenar ataupun sebaliknya.
Kalbu inilah juga yang menjadikan manusia itu mati dalam hidup. Orang yang sebenar-benarnya mati ialah yang mati hati rohaninya. Dan orang sebenar-benarnya hidup ialah mereka yang hidup hati rohaninya. Itulah hidup yang hakiki.
Firman Allah dalam surah al-An’am, ayat 122 yang bermaksud: “Dan adakah orang yang mati (hatinya dengan kufur), kemudian Kami hidupkan dia semula (dengan hidayah petunjuk)…”
Hati rohani inilah yang menjadikan manusia benar-benar sejahtera atau sakit. Kesihatan hati rohani adalah kesihatan sebenar sekalipun jantung hati jasmaninya sakit.
Begitu juga sakitnya hati rohani adalah kesakitan sebenar walaupun jantung hati jasmaninya sihat.
Dalam buku Akhlak dan Tasawuf ditulis Mohd Sulaiman Hj Yasin diterangkan penyakit hati dan tandanya seperti:
- Kekufuran, sama ada kekufuran kerana kejahilan, keingkaran, keangkuhan dan derhaka terhadap hukum Allah.
- Kesesatan, penyelewengan dan bidaah.
- Kemunafikan.
- Keraguan dan kesangsian kepada tanda kebenaran, kebesaran dan kesempurnaan Allah.
- Muwalah atau memberi kesetiaan kepada orang kafir.
- Enggan dan berat hati berjihad ke jalan Allah.
- Kerakusan hati kepada maksiat.
- Derhaka kepada perintah Allah.
- Bersifat dengan sifat tercela seperti takbur, hasad, riyak, marah, bakhil, khianat, suka keduniaan dan harta, mengikut hawa nafsu, buruk sangka dengan Allah, putus asa daripada rahmat Allah, memusuhi dan membenci ulama yang soleh.
Sementara hati sejahtera iaitu yang diterima Allah sifatnya seperti:
- Hati yang sentiasa kembali kepada Allah (qalbun munib) -mereka yang mempunyai sifat al-khasyyah (takut kepada Allah), penyerahan kepada Allah, tawakal, mengingati ayat Allah, bersih daripada bentuk syirik dan penyembah taghut serta takwa terutama tetap mendirikan solat dan rukun Islam yang lain.
- Hati yang bersifat muthmainnah (tenteram), yang sebati dengan zikrullah, yang mempunyai keyakinan iman dalam peringkat ‘ainul yakin’ yakni hati yang berjaya menghakikat konsep pengabdian kepada Allah secara zahir atau batin.
Ia juga berjaya menundukkan keinginan nafsu kepada iradat Allah dan bersih daripada sifat yang merosakkan.
Selepas mengetahui hakikat itu, mengapa manusia tidak mahu menjaga hati? Bukankah suatu hal yang pelik apabila manusia cenderung menjaga penampilan luaran saja sama ada dari sudut seni hias rupa, gaya pakaian dan aksesori di sisinya?
Imam al-Ghazali dalam Minhajul Abidin turut melahirkan kehairanan sebagaimana katanya: “Anehnya manusia hanya memelihara dan memberi perhatian kepada wajahnya agar diperhatikan orang lain dengan membersihkan dan berhias.
Beliau berkata, sepatutnya hati yang diberi perhatian dan rawatan lebih kerana ia pusat penilaian Rabbul Alamin, malah manusia sendiri jika mengetahui seseorang itu berhati kotor, sombong, dengki dan pendendam, pastilah mereka akan menjauhi dan meninggalkannya terus.