Hujan lebat yang melanda Madagascar sejak akhir November tahun lalu menyebabkan kematian 11 orang dan enam yang lain cedera, menurut laporan dikeluarkan pada Selasa oleh agensi pengurusan bencana negara itu, berita Xinhua melaporkan.
Ibu kota, Antananarivo, adalah antara kawasan paling teruk terjejas. Sejumlah 274 orang telah terjejas, dengan 26 rumah kediaman rosak atau musnah, kata Pejabat Kebangsaan untuk Pengurusan Risiko dan Bencana.
Komune Bandar Antananarivo telah menggesa orang ramai untuk terus berwaspada dan menyeru semua keluarga yang tinggal di rumah tradisional lama atau tidak selamat untuk berpindah ke lokasi selamat.
Perkhidmatan meteorologi Madagascar dilapor berkata pada Selasa, keadaan hujan dijangka berterusan di bahagian barat laut negara dan tanah tinggi tengah dalam beberapa hari akan datang, dengan hujan juga diramalkan di wilayah selatan.
Terletak di barat Lautan Hindi, Madagascar biasanya mengalami musim hujan dari November hingga Mac. Cuaca buruk yang menyertainya sering menyebabkan kehilangan nyawa, menyebabkan penduduk kehilangan tempat tinggal, dan membanjiri kawasan pertanian yang luas.











