
Ada diceritakan, seorang murid Imam Fudhail bin Iyadh dalam keadaan sakratul maut. Fudhail mengunjunginya dan duduk berdekatan dengan kepalanya sambil membaca surah Yasin.
Maka, murid yang dalam keadaan sakratul maut itu berkata: “Wahai guru, janganlah tuan membaca surah itu.”
Mendengar ucapan itu, maka dia menghentikan bacaannya dan berkata kepada muridnya: “Jika demikian bacalah ‘La ilaha illallah’.
Jawab murid itu: “Aku tidak akan mengucapkannya kerana aku sudah melepaskan diriku daripada ucapan itu.”
Setelah dia mengatakan yang demikian itu, dia pun mati dalam keadaan suul khatimah walaupun dia seorang daripada murid Fudhail.
Menurut cerita itu, setibanya di rumah, Fudhail menangis selama 40 hari. Dia tidak keluar dari rumah.
Kemudian, pada suatu malam dalam tidurnya Fudhail bermimpi muridnya itu sedang ditarik ke neraka Jahannam.
Maka, Fudhail bertanya kepadanya: “Mengapa Allah menghilangkan imanmu? Padahal selama di dunia engkau adalah muridku yang paling alim.”
Jawab murid itu: “Aku kehilangan iman kerana tiga sebab:
- Aku suka mengadu domba atau memfitnah. Aku mengatakan kepada teman-temanku berlainan dengan apa yang aku kata kepada tuan.
- Aku dengki dan iri hati kepada teman-temanku.
- Ketika sakit aku berjumpa dengan doktor menanyakan mengenai penyakitku. Kemudian doktor memberikan rawatannya iaitu meminum arak setiap tahun sebagai ubat. Kata doktor, jika aku tidak meminumnya, penyakitku tidak akan sembuh. Oleh kerana itu, aku minum arak.


















