Kementerian Luar Negeri Iran, dalam satu kenyataan, mengutuk pendirian Amerika Syarikat (AS) yang berorientasikan campur tangan mengenai hal ehwal dalaman negara itu, lapor berita Mehr.
Menurut laporan Mehr, kementerian luar negeri, dalam satu kenyataan dikeluarkan pada petang Rabu, mengutuk pendirian AS yang berorientasikan campur tangan mengenai Iran, menekankan bahawa rakyat Iran tidak akan membiarkan dasar-dasar yang mengabui mata dan tingkah laku bermusuhan Amerika menjejaskan kedaulatan, kemerdekaan dan maruah negara Iran.
Kenyataan itu menyatakan bahawa kementerian luar negeri mengutuk sekeras-kerasnya kenyataan campur tangan dan mengelirukan yang dibuat oleh pegawai AS mengenai perkembangan dalaman Iran, menggambarkannya sebagai petunjuk jelas mengenai permusuhan berterusan kerajaan AS terhadap negara Iran yang hebat, lapor Mehr.
Menurut kenyataan itu, pendirian sedemikian tidak didorong oleh sebarang kebimbangan tulen terhadap rakyat Iran, tetapi sebaliknya diteruskan dalam rangka kerja dasar tekanan maksimum, ancaman dan campur tangan dalam hal ehwal dalaman Iran, dengan tujuan menghasut keganasan dan terorisme serta mewujudkan pergolakan dan ketidakamanan di negara itu, Mehr melaporkan.
Menurut Mehr, kenyataan itu selanjutnya menegaskan Republik Islam Iran, selaras dengan prinsip yang termaktub dalam perlembagaannya, mengiktiraf protes aman dan berusaha sedaya upaya untuk menangani tuntutan sah rakyat dalam kerangka undang-undang.











