Dua rakyat Palestin, termasuk seorang kanak-kanak, terbunuh dan dua lagi cedera akibat tembakan tentera Israel pada petang Sabtu di Tebing Barat yang diduduki, lapor Anadolu memetik Kementerian Kesihatan.
Satu kenyataan kementerian menyatakan seorang budak lelaki berusia 16 tahun terkorban akibat tembakan Israel di pekan Qabatiya, barat daya Jenin di utara Tebing Barat, menurut Anadolu.
Kementerian itu menambah bahawa mayat mangsa ditahan oleh tentera Israel.
Seorang lagi rakyat Palestin, 22, juga dibunuh oleh tentera Israel di pekan Silah al-Harithiya, barat Jenin, kata kementerian itu, menurut Anadolu.
Menurut saksi, tentera Israel menyerbu pekan itu dan dikerahkan ke seluruh kawasan itu, lapor Anadolu.
Sementara itu, Anadolu memetik agensi berita rasmi Palestin, WAFA, melaporkan dua rakyat Palestin cedera akibat tembakan Israel dekat kem pelarian Nur Shams, timur Tulkarem, dan pekan Al-Ram, utara Baitulmaqdis.
Pasukan Israel dan peneroka haram telah membunuh sekurang-kurangnya 1,102 rakyat Palestin di Tebing Barat yang diduduki, termasuk Baitulmaqdis Timur, mencederakan hampir 11,000 orang, dan menahan sekitar 21,000 orang sejak Oktober 2023, menurut angka Palestin, lapor Anadolu.
Sementara itu, menurut laporan Xinhua, remaja Palestin berusia 16 tahun yang terbunuh di Qabatiya itu bernama Rayan Mohammed Abdel Qader Abu Mualla, manakala lelaki berusia 22 tahun yang dibunuh itu bernama Ahmed Said Zayoud.
Xinhua melaporkan, Pasukan Pertahanan Israel (IDF) berkata, kedua-dua insiden itu melibatkan serangan ke atas tentera.
Menurut laporan Xinhua, di Qabatiya, seorang rakyat Palestin melontar batu-bata ke arah askar dari unit peninjau Briged Penerjun Payung semasa serbuan.
Tentera membalas tembakan, membunuh penyerang itu, kata IDF, seperti dilapor oleh Xinhua.
Beberapa minit kemudian di Silat al-Harithiya, seorang lagi rakyat Palestin melontar alat letupan ke arah askar, yang turut membalas dengan tembakan, kata IDF, menurut laporan Xinhua, tiada tentera Israel dilaporkan cedera dalam kedua-dua insiden itu.
Di Gaza, menurut laporan Xinhua, IDF berkata tenteranya membunuh dua rakyat Palestin di utara enklaf itu pada Sabtu selepas mereka melintas Garisan Kuning, kawasan penampan yang diwujudkan di bawah perjanjian gencatan senjata yang berkuat kuasa pada 10 Oktober, dan menimbulkan ancaman segera.
Tentera udara menjalankan serangan itu susulan pengenalpastian individu terbabit, kata tentera, menurut Xinhua.
Sepanjang 24 jam lalu, pihak berkuasa Palestin melaporkan 13 kematian, termasuk tujuh kematian yang sebelum ini tidak direkodkan dan enam kematian yang baru disahkan, bersama-sama dengan 20 kecederaan, lapor Xinhua.
Xinhua melaporkan, sejak 11 Oktober, 401 rakyat Palestin telah terbunuh, 1,108 cedera, dan 641 mayat telah ditemui.
Pihak berkuasa menambah bahawa sejak 7 Oktober 2023, 70,925 rakyat Palestin telah terbunuh dan 171,185 cedera, dengan menyatakan ramai mangsa masih terperangkap di bawah runtuhan, dengan pasukan kecemasan dan penyelamat tidak dapat sampai ke tempat mereka, lapor Xinhua.











