Pasukan penyelamat di Sri Lanka bertungkus-lumus pada Isnin membersihkan jalan dan menyampaikan bantuan kepada lebih setengah juta orang yang dilanda taufan minggu lalu, ketika jumlah kematian meningkat kepada 355, dengan 366 hilang, angka rasmi menunjukkan, lapor Reuters.
Siklon Ditwah, membawa angin kencang dan hujan lebat, membawa banjir terburuk di negara pulau itu dalam tempoh sedekad apabila ia melanda pada Jumaat, mengakibatkan tanah runtuh di kawasan tengah berbukit.
Pegawai dilapor berkata, perkhidmatan kereta api dan penerbangan disambung semula selepas terganggu minggu lalu, walaupun sekolah masih ditutup.
Dalam satu kenyataan, pihak berkuasa cuaca dilapor berkata, “Ia (ribut) berkemungkinan besar bergerak ke utara, menjauhi pulau itu, dan semakin lemah.”
Ia adalah kali pertama seluruh negara dilanda bencana alam seperti itu, Presiden Anura Kumara Dissanayake dilapor berkata pada Ahad, yang disebutnya sebagai “terbesar dan paling mencabar” dalam sejarah Sri Lanka.
Siklon itu juga membawa hujan lebat ke negeri Tamil Nadu di selatan India pada hujung minggu, di mana tiga orang terbunuh dalam insiden berkaitan hujan, K.K.S.S.R. Ramachandran, menteri pengurusan bencana negeri, berkata pada Ahad, menurut Reuters.











