Kanada, negara Eropah gesa Israel pulihkan koridor perubatan untuk pesakit Gaza

Kanada dan negara-negara Eropah menggesa Israel pada Isnin untuk memulihkan koridor perubatan antara Gaza dan Tebing Barat yang diduduki, termasuk Baitulmaqdis Timur, bagi membolehkan pesakit mendapatkan rawatan segera, menurut laporan Anadolu.

Dalam satu kenyataan bersama, menteri luar Kanada dan lebih 20 negara Eropah termasuk Austria, Belgium, Finland, Perancis, Jerman, Greece, Ireland, Itali, Luxembourg, Malta, Belanda, Norway, Poland, Portugal, Sweden dan Switzerland berkata mereka bersedia untuk memberikan sumbangan kewangan, kakitangan perubatan dan peralatan untuk rakyat Palestin yang memerlukan penjagaan di luar Gaza.

“Memandangkan bencana kemanusiaan di Jalur Gaza terus berlaku, terdapat keperluan mendesak untuk meningkatkan rawatan perubatan pesakit dari Gaza,” kata kenyataan itu.

“Kami, yang bertandatangan di bawah, bersedia untuk memberikan sokongan dalam bentuk contohnya sumbangan kewangan, penyediaan kakitangan perubatan atau peralatan yang diperlukan untuk rawatan pesakit dari Gaza di Tebing Barat yang diduduki, termasuk Baitulmaqdis Timur,” tambahnya.

Para menteri merayu kepada Israel untuk menarik balik sekatan ke atas penghantaran ubat dan peralatan perubatan dan untuk membolehkan PBB dan rakan kongsi kemanusiaan menjalankan “kerja menyelamatkan nyawa”.

Mereka juga memetik Resolusi Majlis Keselamatan PBB 2286, menyeru Israel untuk menghormati dan melindungi kakitangan perubatan dan memastikan laluan selamat mereka.