Seorang kanak-kanak dan seorang wanita terbunuh dalam ribut teruk yang melanda Jalur Gaza, pertahanan awam wilayah itu mengumumkan pada Ahad, menurut berita Xinhua.
Jurucakap pihak berkuasa, Mahmoud Basal, dilapor berkata dalam satu siaran akhbar bahawa seorang kanak-kanak berusia tujuh tahun meninggal dunia selepas jatuh ke dalam perigi, manakala seorang wanita berusia 30 tahun terbunuh akibat runtuhan dinding semasa angin kencang dan hujan.
Pasukan pertahanan awam telah memberi respons kepada berpuluh-puluh khemah yang dibanjiri air hujan, membantu penduduk mengepam air dan membersihkan longkang, kata Basal.
Nizar Ayyash, datuk bandar Deir al-Balah di tengah Gaza, dilapor berkata kebanyakan kem penempatan di bandar itu telah menjadi paya berlumpur, kerana pihak perbandaran kekurangan sumber dan peralatan untuk menyediakan bantuan mencukupi.
Sementara itu, bilik operasi kecemasan wilayah itu berkata Jalur Gaza amat memerlukan sekitar 200,000 unit perumahan pasang siap untuk memenuhi keperluan kemanusiaan segera dan menyediakan tempat perlindungan yang selamat untuk keluarga kehilangan tempat tinggal di tengah-tengah keadaan cuaca teruk, menurut berita Xinhua.











