Punca utama kematian Zara Qairina Mahathir adalah kecederaan otak traumatik teruk dengan komplikasi ‘hypoxic-ischemic encephalopathy (HIE) atau kecederaan otak yang disebabkan oleh kekurangan oksigen (hipoksia) dan aliran darah (iskemia) ke otak, lapor BH Online.
Menurut laporan media dalam talian itu, perkara itu didedahkan melalui laporan perubatan yang dibacakan dalam keterangan Pegawai Perubatan di Jabatan Neurosurgeri Hospital Queen Elizabeth (HQE), Dr Pavankumar Balachandran selaku saksi keempat prosiding inkues kes kematian Zara Qairina di Mahkkamah Koroner, di Kota Kinabalu, hari ini.
Menurut saksi itu, lapor BH Online, mangsa dikesan mengalami pendarahan teruk di dalam otak serta tiada tindak balas otak sebaik sahaja tiba di hospital.
Dia turut memaklumkan keadaan Zara Qairina merosot selepas dimasukkan ke HQE dan meninggal dunia pada 17 Julai kira-kira jam 1.07 tengah hari, selepas dua hari dirawat oleh pasukan perubatan pakar.
“Kematian pesakit dimaklumkan kepada pegawai penyiasat. Mayat seterusnya disimpan di dalam wad sehingga ketibaan pegawai penyiasat,” dia dilaporkan berkata ketika diminta membacakan keterangan saksi oleh Timbalan Ketua Pendakwaan II, Datuk Badiuszaman Ahmad.
BH Online melaporkan, saksi turut dimaklumkan mangsa sebelum itu ditemui terbaring tidak sedarkan diri berhampiran longkang di perkarangan tingkat bawah asrama sekolah, sebelum dihantar ke Jabatan Kecemasan dan Trauma HQE pada jam 4.38 pagi oleh pasukan Pre-Hospital Care (PHC) dari Klinik Kesihatan Kinarut.
Menurut saksi lagi, ‘trauma alert’ telah diaktifkan pada jam 4.42 pagi dan pemeriksaan awal oleh pasukan neurosurgeri mendapati mangsa sudah berada dalam keadaan intubasi dan tidak menunjukkan sebarang tindak balas neurologi.
Pemeriksaan awal pasukan neurosurgeri juga, menurutnya mendapati mangsa sudah bergantung kepada mesin bantuan pernafasan serta tidak memberikan sebarang tindak balas neurologi.
Dia dilaporkan berkata, tahap kesedaran dinilai pada skala paling rendah, dengan anak mata kekal membesar dan tiada refleks otak dikesan.
Pemeriksaan luaran pula menemui bengkak serta luka koyakan pada bahagian belakang kepala yang telah dijahit bagi menghentikan pendarahan, menurut laporan BH Online.
“Hasil Imbasan Tomografi Berkomputer (CT scan) otak menunjukkan terdapat pendarahan akut pada ‘subarachnoid’ (celah antara otak dan membran tengah yang membungkus otak) di kedua-dua belah hemisfera otak, pendarahan subdural di beberapa bahagian termasuk ‘fissura interhemisferica’ (alur dalam pada garis tengah yang memisahkan kedua-dua hemisfera serebrum dan mengandungi falx cerebri) serta ‘tentorium cerebelli’ (satu daripada empat lipatan dural yang memisahkan rongga tengkorak kepada empat petak), selain tanda-tanda awal ‘herniasi tonsillar’ (pergerakan tisu otak dari satu petak intrakranial ke petak yang lain) di ‘foramen magnum’ (pembukaan besar yang terletak di pangkal tengkorak).
“Laporan perubatan turut menyatakan berlaku kehilangan kejelasan antara bahan kelabu dan putih otak, tanda kepada kerosakan neurologi yang kritikal,” dia dipetik berkata.
BH Online menghuraikan, menurut saksi itu lagi, selain kecederaan kepala, Zara Qairina turut mengalami kecederaan lain termasuk patah pergelangan tangan kiri, patah buku lali kiri dengan luka terbuka, serta kecederaan pada pergelangan kaki kanan.
Mangsa yang kemudiannya ditempatkan di Wad Neurosurgeri HQE pada jam 6.40 petang, 16 Julai lalu tidak menunjukkan sebarang tanda pemulihan sepanjang tempoh rawatan dan keadaan kesihatannya terus merosot sebelum disahkan meninggal dunia keesokan harinya, menurut laporan BH Online.
Kematian Zara Qairina kemudiannya dimaklumkan kepada pegawai penyiasat polis, menurut BH Online.
Menurut laporan media itu lagi, mayat dihantar ke Jabatan Perubatan Forensik untuk siasatan lanjut selepas perbincangan bersama ibu mangsa, Noraidah Lamat dan pihak berkuasa.
Dr Pavankumar dilaporkan memiliki Ijazah Kedoktoran Perubatan (MD) dari Universitas Padjadjaran di Bandung, Indonesia pada 2017.
Dia yang juga saksi inkues telah menjalani latihan ‘housemanship’ selama dua tahun, bermula 2018 hingga 2020 di HQE.
Dr Pavankumar dilaporkan berkhidmat sebagai Pegawai Perubatan di Jabatan Neurosurgeri Hospital Kuala Lumpur antara 2021 hingga 2023, sebelum kembali bertugas di HQE pada Julai 2023 sehingga kini.
Sebelum diserap sepenuhnya ke unit neurosurgeri, dia dilaporkan turut mempunyai pengalaman dalam Jabatan Pembedahan Am, sekali gus melengkapkan kemahiran klinikal dalam pengurusan pesakit.











