Lima yang tercela ialah sifat nifaq, riyak, ujub, lalai dan mengganggu orang lain. Orang Islam wajib memelihara diri daripada sifat berkenaan. Mari kita sama-sama perhatikan dan awasi diri daripadanya.
1. NIFAQ iaitu sikap berpura-pura — orang memilikinya, disebut munafik iaitu orang yang tidak mendapat hidayah daripada Allah. Dia hanya beriman pada mulut. Perbuatannya nampak baik, namun semuanya adalah tipu daya yang bertujuan memancing mata orang ramai saja.
Firman Allah dalam surah an-Nisa, ayat 142 bermaksud: “Sesungguhnya orang-orang munafik itu melakukan tipu daya (terhadap agama) Allah (dengan perbuatan pura-pura beriman sedang mereka kafir pada batinnya) dan Allah pula tetap membalas tipu daya mereka (dengan membiarkan mereka dalam keadaan munafik).
Mereka pula apabila berdiri hendak solat, mereka berdiri dengan malas. Mereka (hanya bertujuan) riyak (memperlihatkan solatnya) kepada manusia (supaya disangka bahawa mereka orang yang beriman) dan mereka pula tidak mengingati Allah (dengan mengerjakan solat) melainkan sedikit sekali (jarang-jarang).”
2. RIYAK disifatkan sebagai syirik kecil kerana mengandungi erti menyekutukan pada niat atau tujuan dalam ibadat.
Jika syirik besar akan menyebabkan runtuhnya asas binaan Islam, syirik kecil atau riyak akan menyebabkan runtuhnya nilai pahala dalam ibadat.
Firman Allah dalam surah al-Baqarah, ayat 264 bermaksud: “Wahai orang-orang yang beriman! Jangan rosakkan (pahala amal) sedekah kamu dengan perkataan membangkit-bangkit dan (kelakuan yang) menyakiti, seperti (rosaknya pahala amal sedekah) orang yang membelanjakan hartanya kerana hendak menunjuk-nunjuk kepada manusia (riyak) dan dia pula tidak beriman kepada Allah dan hari akhirat.
Maka bandingan orang itu ialah seperti batu licin yang ada tanah di atasnya, kemudian batu itu ditimpa hujan lebat, lalu ditinggalkannya bersih licin (tidak bertanah lagi). (Demikianlah juga halnya orang-orang yang kafir itu dan riyak itu) mereka tidak akan mendapat sesuatu (pahala) pun daripada apa yang mereka usahakan. Dan (ingatlah) Allah tidak akan memberi petunjuk kepada kaum yang kafir.”
3. UJUB boleh ditakrifkan sebagai rasa kagum bercampur bangga atau megah dengan suatu nikmat dimiliki, di samping lupa kepada Allah yang memberi nikmat berkenaan.
Firman Allah bermaksud: “Sesungguhnya Allah telah menolong kamu mencapai kemenangan dalam banyak medan perang dan di medan Perang Hunain iaitu ketika kamu berasa megah dengan sebab bilangan kamu yang ramai, maka bilangan yang ramai itu tidak mendatangkan faedah kepada kamu sedikit pun dan (semasa kamu berasa) bumi yang luas itu menjadi sempit kepada kamu, kemudian kamu berpaling undur melarikan diri.” (Surah at-Taubah, ayat 25)
4. LALAI iaitu cuai, lengah atau lupa sehingga tidak sedar terhadap sesuatu yang sepatutnya.
Dalam surah al-Asr, ayat 1 hingga 3 diterangkan: “Demi masa. Sesungguhnya manusia itu dalam kerugian. Kecuali orang-orang yang beriman serta beramal soleh dan mereka pula berpesan-pesan dengan kebenaran serta berpesan-pesan dengan sabar.”
Manusia menjadi lalai disebabkan banyak perkara membabitkan dorongan nafsu, pujukan syaitan, dikuasai dunia dan terpengaruh dengan manusia lain.
Salman al-Farisi RA berkata: “Sesungguhnya hamba Allah, jika dia berzuhud terhadap dunia, hatinya akan bersinar dengan hikmah dan anggota badannya pula akan saling membantu untuk beribadat.”
5. MENGGANGGU orang lain bukan peribadi orang Islam.
Firman-Nya dalam surah al-Anfal ayat 1, antara lain bermaksud: … “dan perbaikilah keadaan perhubungan di antara kamu serta taatlah kepada Allah dan Rasul-Nya, jika benar kamu orang-orang yang beriman.”
Daripada Abdullah bin Amr RA, daripada Nabi SAW bersabda (mafhumnya): “Seorang Muslim (yang sempurna Islamnya) ialah yang terselamat orang-orang Islam daripada lidahnya dan tangannya.” (Riwayat Muslim)