Dunia mempesonakan, menarik dan tertarik, justeru ramai manusia mengejarnya, berlumba-lumba untuk mendapatkannya, sehingga ada yang sanggup menipu, mengeksploitasi, menganiaya dan membunuh yang lain.
Namun akhir kepada semua itu adalah maut yang memilukan. Syurga adalah keindahan, tetapi pasangannya adalah neraka yang mengerikan. Keempat-empat perkara itu (dunia, maut, syurga, neraka) adalah benar belaka.
Kehidupan dunia yang kita jalani bernoktah dengan kematian. Selalu kita dengar berita kematian, bahkan pernah menyaksikannya.
Malah ketika ini boleh dikatakan setiap detik rakyat Palestin di Gaza menghadapi kematian. Nyawa mereka seolah-olah tidak berharga, oleh mereka yang mengejar dunia, atau dirasuk kegilaan. Mari kita berdoa agar saudara seagama kita di Gaza dan tempat lain dilindungi, diberikan keselamatan dan keamanan.
Syurga dan neraka, kedua-duanya kita belum lihat, tetapi ia destinasi pasti yang wajib diimani oleh kita.
Selepas mengetahui semua itu, apa yang kita rasa? Rasa takut kepada mati, teringin ke syurga dan enggan ke neraka ataupun bercita-cita ingin hidup lebih lama lagi?
Cuba kita perhatikan di kiri kanan kita, bukankah sudah ramai yang meninggal? Dulu, mungkin dialah orang terkaya dan terhebat, disegani ataupun digeruni, tapi semuanya itu nyata sementara saja.
Jika mati dan terus ke syurga, tidaklah mengapa. Tetapi yang menjadi masalahnya, neraka juga disediakan. Keadaan azabnya sebagaimana dikhabarkan kepada kita tidak terperi. Segala amalan, perbuatan kita di dunia akan dikira satu persatu kelak.
“(Ingatlah), sesungguhnya pokok Zaqqum. (Buahnya) menjadi makanan bagi orang yang berdosa (dalam neraka). (Makanan ini pula panas) seperti tembaga cair, mendidih dalam perut. Seperti mendidihnya air yang meluap-luap panasnya.” (Ad-Dukhan, ayat 43 hingga 46)
Apabila kita berasa takut, apa yang kita lakukan? Tentu kita akan lari dan menjauhkan diri daripada apa yang kita takuti itu. Kan! Kita dekati sesuatu yang boleh menjadi pelindung atau penyelamat. Tetapi, bagaimana?
Kalau kita takut tipu daya dunia, kita awasilah diri daripada terjebak dengan godaannya. Kita boleh cari harta, bahkan digesa demi kelangsungan diri, keluarga dan masyarakat, tapi jangan sampai harta itu membelit diri, lemas dalam dakapannya dan berasa asyik, seronok pula.
Takut mati, maka kita bersedia dengannya iaitu mempersiapkan bekalan untuk menghadapinya. Begitu juga takut neraka kita lari daripadanya dan mendekati syurga, iaitu dengan melakukan kebaikan dan meninggalkan perbuatan buruk.
Diceritakan daripada Dzun Nun al-Misri: “Setiap orang yang takut akan lari, setiap orang yang suka akan mencari dan setiap orang yang selesa dengan Allah akan berasa asing dengan makhluk.”
Dzun Nun adalah Abdul Faidh Tsauban bin Ibrahim, meninggal dunia pada 245 Hijrah. Pendapat lain mengatakan al-Faidh bin Ibrahim. Dia adalah satu-satunya orang yang paling alim, warak dan terpuji tingkah laku mahupun adabnya pada zamannya.
Sayidina Ali bin Abu Talib dipetik sebagai berkata: “Sesiapa yang rindu pada syurga, bersegeralah kepada kebaikan. Sesiapa yang takut neraka, berhentilah daripada keinginan syahwat.
Sesiapa yang yakin pada maut, habislah semua kelazatan ke atasnya. Sesiapa yang mengetahui dunia, ringanlah dia menanggung musibah ke atasnya.”
Perintah untuk bersegera melakukan amalan soleh demi cinta syurga sudah pun diseru oleh Allah:
“Dan segeralah kamu kepada (mengerjakan amalan yang baik untuk mendapat) keampunan daripada Tuhan kamu dan (mendapat) syurga yang bidangnya seluas segala langit dan bumi, yang disediakan bagi orang-orang yang bertakwa.” (Ali-Imran, maksud ayat 133)
Al-Quran juga mengingatkan kita agar memelihara diri daripada neraka dengan cara mengikuti perintah Allah dan Rasul-Nya. Mudah-mudahan dengan itu kita memperoleh rahmat.
“Dan peliharalah diri kamu daripada api neraka, yang disediakan bagi orang-orang kafir. Dan taatlah kamu kepada Allah dan Rasul-Nya, supaya kamu diberi rahmat.” (Ali-Imran, maksud ayat 131 dan 132)
Seorang ahli tasawuf yang meninggal dunia di Naisabur pada 258 Hijrah, Yahya bin Muaz ar-Razi pernah berkata: “Sangatlah beruntung bagi orang yang meninggalkan dunia sebelum dunia meninggalkan dirinya, orang yang membangunkan kuburnya sebelum dia memasukinya dan orang yang bersikap reda kepada Tuhannya sebelum dia menemuinya.”