Makanan haram boleh mengakibatkan pelbagai musibah. Antaranya seperti ditegaskan Imam al-Ghazali dalam Minhajul Abidin:
1. Dibakar api neraka
Firman-Nya dalam surah an-Nisa ayat 10 bermaksud: “Sesungguhnya orang yang memakan harta anak yatim secara zalim sebenarnya mereka itu hanyalah menelan api ke dalam perut mereka dan mereka pula akan masuk ke dalam api neraka yang menyala-nyala.”
Sabda Nabi SAW, mafhumnya: “Setiap daging yang tumbuh daripada makanan haram, api neraka akan menyambarnya dengan pantas.”
2. Tidak diberi taufik dalam beribadat
Orang yang makan makanan haram dan syubhat tidak akan diberikan taufik dalam beribadat kerana orang seperti itu tidak berkhidmat kepada Allah.
Sebagaimana diketahui orang yang berhadas besar adalah dilarang memasuki masjid. Begitu juga orang berhadas kecil tidak boleh memegang kitab suci al-Quran. Orang yang tersimbah dengan kotoran haram dan syubhat bagaimana Allah hendak menerima segala amalan yang dilakukan?
Yahya bin Muaz berkata, bahawa taat itu tersimpan dalam gudang Allah yang lubang kuncinya adalah doa dan anak kuncinya ialah barang yang halal. Jika anak kunci itu tiada, pintu tidak dapat dibuka. Jika pintu tidak dapat dibuka, bagaimana seseorang dapat melakukan ketaatan?
3. Terhalang daripada melakukan kebaikan
Saidina Ibnu Abbas RA berkata: “Allah tidak akan menerima solat seseorang yang dalam perutnya penuh dengan makanan haram.”
Orang yang hendak melaksanakan ibadat, kata al-Ghazali, adalah wajib ke atasnya menjaga perut dengan baik kerana perut adalah salah satu bahagian tubuh paling sukar untuk diperbaiki serta paling besar mudarat dan pengaruhnya.
Berkenaan makan makanan halal secara berlebihan pula katanya: “Tabiat itu penyakit bagi ahli ibadat dan bala bagi ahli ijtihad.
“Terlebih makan akan menyebabkan seseorang berasa malas untuk beribadat, kerana badan menjadi berat, mata mengantuk dan anggota badan yang lain lesu sehingga keadaannya menjadi seolah-olah bangkai terbuang.”