Orang awam terus menjadi mangsa serangan Israel di pelbagai kawasan di Gaza

Beberapa orang awam terbunuh dan yang lain cedera petang Ahad dalam tembakan Israel yang menyasarkan beberapa kawasan di Jalur Gaza, berita WAFA melaporkan.

Koresponden WAFA berkata, tentera Israel mengebom sebuah rumah milik keluarga Al-Baz di kem pelarian Nuseirat di tengah Jalur Gaza, membunuh dan mencederakan beberapa orang awam.

Menurut laporan itu, pesawat perang Israel juga melancarkan serangan udara di timur Khan Yunis, di selatan Jalur Gaza, dan menyasarkan sebuah apartmen di kawasan kejiranan Al-Rimal, barat Kota Gaza, membunuh dua orang awam dan mencederakan yang lain.

Menurut WAFA, sumber perubatan melaporkan bahawa jumlah orang awam Palestin yang terbunuh akibat tembakan pendudukan Israel di pelbagai kawasan di Jalur Gaza sejak fajar Ahad meningkat kepada 36 orang.

Bagaimanapun dalam laporan agensi itu sebelumnya, dinyatakan 44 rakyat Palestin terbunuh akibat tembakan dan pengeboman tentera Israel di seluruh Gaza sejak fajar, dengan mangsa dibawa ke Hospital Al-Shifa (4), Hospital Al-Awda (23), Hospital Al-Aqsa (12), dan Hospital Nasser (5).