Pasukan keselamatan Pakistan membunuh sekurang-kurangnya 23 militan semasa operasi keselamatan di barat laut wilayah Khyber Pakhtunkhwa dekat sempadan Afghanistan, kata tentera pada Khamis, menurut berita Anadolu.
Pasukan keselamatan menjalankan dua operasi berasingan di daerah Kurram dekat sempadan Pakistan-Afghanistan pada Rabu, kata Perhubungan Awam Antara Perkhidmatan (ISPR), sayap media tentera Pakistan, dalam satu kenyataan, menurut Anadolu.
Tentera Pakistan telah meningkatkan operasi berasaskan perisikan mereka di beberapa daerah Khyber Pakhtunkhwa selepas serangan baru-baru ini di ibu kota Islamabad dan pelbagai bahagian wilayah itu.
Pada Isnin, tentera dilaporkan turut membunuh sekurang-kurangnya empat militan di Bajaur, Waziristan Utara dan Dera Ismail Khan.
Sehari sebelum itu, ISPR berkata tentera membunuh sekurang-kurangnya 23 militan dalam dua pertempuran besar di daerah Bajaur dan Bannu.
Pada Ahad, sekurang-kurangnya 15 lagi militan dilaporkan terbunuh semasa operasi di daerah Dera Ismail Khan dan Waziristan Utara.
Minggu lalu, seorang pengebom berani mati meletupkan dirinya di luar Kompleks Kehakiman di ibu negara Pakistan, Islamabad, membunuh sekurang-kurangnya 12 orang dan mencederakan hampir tiga dozen yang lain.
Terdahulu, militan menyerang Kolej Kadet di wilayah Wana di daerah puak Waziristan Selatan dekat sempadan Afghanistan.
Pasukan keselamatan menggagalkan serangan itu dan membunuh semua lima militan yang memasuki kolej selepas pengebom berani mati memusnahkan pintu utama.











