Penyelidik di Australia menemui cara baharu untuk membunuh sel kanser dalam leukemia myeloid akut (AML), salah satu bentuk kanser darah yang paling agresif dan sukar dirawat, lapor Xinhua.
Pasukan mendapati sel AML, terutama sel stem yang mendorong kambuh (berulang, jatuh sakit lagi), bergantung pada molekul biasa yang dipanggil heme untuk terus hidup dan terus membiak.
Apabila proses ini disekat, sel-sel kanser mati melalui bentuk kematian sel yang baru dikenal pasti dikenali sebagai cuproptosis, menurut kenyataan Pusat Kanser Peter MacCallum Australia pada Khamis, lapor Xinhua.
“Dengan menyekat sel AML daripada menghasilkan heme, kita boleh menghidupkan cuproptosis, satu bentuk kematian sel yang unik, dan secara berkesan membunuh sel yang paling bertanggungjawab menyebabkan kanser berulang,” Alexander Lewis, penyelidik pasca doktoral di Peter Mac dilapor berkata.
“Kami telah menemui kelemahan asas dalam sel AML… Ini membuka pintu kepada terapi baharu yang berpotensi lebih berkuasa dan tahan lebih lama,” kata Lewis, pengarang utama penyelidikan, yang diterbitkan dalam Cell dan dijalankan dengan pelbagai institut penyelidikan Australia.
Setiap tahun, kira-kira 900 orang Australia didiagnosis dengan AML, dengan separuh kambuh selepas keredaan dan kelangsungan hidup median untuk pesakit kambuh antara empat dan enam bulan, kata penyelidik.
“Penemuan ini boleh membawa kepada rawatan baharu yang bukan sahaja membunuh sel AML tetapi juga menghalang penyakit itu daripada datang kembali selepas terapi awal,” kata Lewis sambil menambah ia “mungkin berkesan walaupun dalam AML yang telah menjadi tahan terhadap ubat standard”.
Kajian itu juga mengenal pasti laluan metabolik tambahan untuk digabungkan dengan strategi penyekatan heme untuk meningkatkan keberkesanan rawatan, kenyataan itu dilapor sebagai berkata.











