Orang beriman tidak hidup bersendirian. Mereka bersaudara dan persaudaraan mereka bukannya disebabkan kepentingan tertentu, seperti harta benda, pangkat dan pengaruh, sebaliknya dengan ikhlas melalui ikatan akidah yang satu semata-mata kerana Allah.
Firman Allah dalam surah al-Hujurat, ayat 10 bermaksud: “Sebenarnya orang yang beriman itu adalah bersaudara…”
Dalam menggambarkan betapa eratnya hubungan sesama orang beriman, Rasulullah SAW bersabda, mafhumnya: “Tidaklah (sempurna) iman seseorang sehingga dia mencintai saudaranya itu seperti dia mencintai dirinya sendiri.” (Riwayat Bukhari dan Muslim)
Baginda SAW juga bersabda: “Sekuat-kuat ikatan iman adalah persaudaraan kerana Allah, cinta kerana Allah dan memberi kerana Allah.” (Riwayat Thabrani daripada Ibnu Mas’ud)
Nas itu menjelaskan kepada kita, betapa Allah dan Rasul-Nya menganjurkan kita supaya menghubungkan persaudaraan. Kaitan rapat persaudaraan dengan keimanan membuktikan bahawa ianya satu perkara sangat penting.
Oleh kerana itu, kita mestilah menghubungkan dan menjaga persaudaraan. Kita haruslah ketepikan keegoan dan segala prinsip yang mengutamakan diri sendiri, demi hubungan persaudaraan sesama kita, sebagai orang beriman.
Atas semangat persaudaraan juga kita menghulurkan bantuan kepada orang lain dengan lapang dada. Kita mudah simpati dan cepat bertindak supaya kesusahan dialami berganti dengan keselesaan.
Ramai orang mengalami kesusahan dan pelbagai bentuk pertolongan boleh diberikan kepada golongan terbabit, baik dari sudut usaha tenaga, sokongan moral mahupun harta benda.
Berkenaan bantuan dari sudut harta khususnya, Imam al-Ghazali pernah berkata, membantu dengan harta bagi sesama Muslim mempunyai tiga tahap.
Menurutnya:
(1) Tahap paling rendah ialah memberi perhatian keperluan saudaranya dengan sedikit kelebihan hartanya, manakala
(2) Tahap pertengahan melepaskan separuh daripada hartanya.
(3) Tahap tertinggi, katanya, lebih mementingkan saudaranya daripada dirinya sendiri dengan cara memberikan segala yang diperlukan daripada hartanya sehingga saudaranya berada dalam kecukupan dan mulia kedudukannya.
Itulah yang dinamakan darjat ‘as-sidiqqin’ iaitu darjat tertinggi bagi orang yang saling mencintai.
Darjat inilah disebut oleh Allah dalam firman-Nya bermaksud: “Dan mereka (kaum Ansar) mengutamakan (orang-orang Muhajirin) atas diri mereka sendiri, sekalipun mereka dalam kesusahan.” (Surah al-Hasyr, ayat 9)
Jika kita perhatikan perjalanan hidup pada zaman permulaan Islam, banyak kisah yang mengutamakan kepentingan orang lain, antaranya membabitkan Abdul Rahman bin Auf, iaitu seorang Muhajirin.
Sewaktu beliau tiba di Madinah (bersama Muhajirin lain), beliau ditawarkan oleh sahabat daripada kalangan Ansar (Saad bin Rabi’) untuk menerima pemberian separuh daripada harta kekayaannya dan seorang isterinya.
Abdul Rahman berkata: “Semoga Allah SWT memberkati anda dalam masalah ini. Tunjukkan saja kepadaku di mana letaknya pasar di kota anda.” Beliau akhirnya dihantarkan ke pasar Bani Qainuqa dan turut diberikan kepadanya modal gandum secukupnya.
Secebis kisah itu menggambarkan betapa dalamnya erti persahabatan dalam kalangan sahabat Nabi SAW.
Melalui semangat persaudaraan itulah tercapainya kejayaan demi kejayaan.
Jadi, dalam keadaan kita sekarang yang sangat berkehendak kepada kejayaan, marilah kita kembali kepada semangat persaudaraan sejati.
Kita bersama dalam suka dan duka, demi sebuah umat yang satu. Semoga niat dan iltizam kita mendapat restu dan ganjaran daripada-Nya.