Qatar pada Khamis mengutuk serangan Israel di Jalur Gaza yang membunuh dan mencederakan orang awam, memberi amaran serangan itu menandakan peningkatan berbahaya yang boleh menjejaskan gencatan senjata di kawasan itu, lapor Xinhua.
Menurut Xinhua, dalam satu kenyataan di laman web rasminya, Kementerian Luar Qatar berkata ia “mengutuk sekeras-kerasnya serangan kejam yang dilakukan oleh pendudukan Israel di Jalur Gaza”.
Kementerian menggesa rakan serantau dan antarabangsa untuk membantu mengekalkan gencatan senjata sebagai langkah ke arah menamatkan perang di Gaza dan mencapai keamanan berkekalan di rantau itu.
Qatar adalah pengantara utama dan salah satu penjamin gencatan senjata antara Israel dan Hamas yang bermula pada 10 Okt.
Di sebalik gencatan senjata, Israel terus melancarkan serangan di kawasan enklaf itu, mengatakan mereka bertindak balas terhadap “pelanggaran” oleh Hamas.
Pada Rabu, tentera Israel melakukan serangan udara di seluruh Gaza, mengatakan mereka bertindak balas terhadap tembakan ke arah tentera Israel di Khan Younis di selatan Gaza.
Pihak berkuasa kesihatan Gaza berkata pada Khamis serangan Israel membunuh 32 orang, termasuk 12 kanak-kanak dan lapan wanita, dan mencederakan 88 yang lain dalam tempoh 24 jam lalu, menurut Xinhua.
Rabu adalah antara hari yang paling mematikan bagi penduduk Gaza sejak gencatan senjata bermula.
Sejak gencatan senjata itu, sekurang-kurangnya 312 rakyat Palestin terbunuh dan 760 cedera, dan pihak berkuasa telah menemui 572 mayat, menurut pegawai Gaza, lapor Xinhua.











