
Ramadan sarat dengan perbendaharaan. Padanya terkandung rahmat Tuhan mencurah-curah. Alangkah beruntung mereka dapat bersamanya dan mendapat buah istimewa daripadanya!
Jika kita amati, tamu istimewa ini juga banyak mengajar kita erti kehidupan. Di sini, tiga perkara paling nyata ingin disentuh:
Ketaatan
Puasa kita sebulan Ramadan kerana ketaatan kepada Allah. Bukan kerana adat, bukan kerana tiada makanan ataupun mengikut orang. Maknanya, kita sanggup berlapar dan dahaga semata-mata kerana menyempurnakan suruhan-Nya.
“Wahai orang-orang beriman! Kamu diwajibkan berpuasa sebagaimana diwajibkan atas orang-orang yang dahulu daripada kamu supaya kamu bertakwa.” (Maksud ayat 183, surah al-Baqarah)
Firman-Nya pada surah an-Nisa, ayat 59 bermaksud: “Wahai orang beriman! Taatkan kamu kepada Allah…”
Sekiranya kita dapat memahami konsep ketaatan ini, nescaya hidup kita lebih fokus. Kita tidak bermasalah untuk berpuasa, solat, menutup aurat dan suruhan-Nya yang lain.
Kejujuran
Puasa mengajar kita erti kejujuran. Walaupun berseorangan, kita tetap berpuasa sampai waktu berbuka. Begitu juga walaupun kita berada di bilik yang gelap lagi sunyi, kita tidak makan.
Selagi belum tiba waktu berbuka, kita tetap berpuasa. Kita sedar bahawa Allah Maha Mengetahui, Maha Melihat dan Maha Mendengar.
Firman-Nya bermaksud: “Dia tidak dapat dicapai oleh penglihatan mata, sedang Dia dapat melihat segala penglihatan itu dan Dialah Yang Maha Halus lagi Maha Mengetahui.” (Surah al-An’am, ayat 103)
Aspek kejujuran melalui ibadat puasa ini sangat baik jika kita dapat menerapkan atau mengamalkannya juga pada ibadat lain, bahkan dalam hidup kita seharian terutama apabila melakukan sesuatu pekerjaan dan berurusan dengan orang lain.
Disiplin
Perkara ini menjadi syarat bagi orang yang ingin menempa kejayaan. Tiada disiplin, usah mengharapkan kejayaan. Dan puasa mengajar kita aspek ini, terutama dalam penjagaan waktu.
Kita dilatih menepati waktu sama ada untuk memulakan puasa mahupun berbuka. Apabila masuk waktu, kita segera berbuka puasa. Kita tidak menangguhkannya sebab disiplinnya memang begitu.
Nabi SAW bersabda, mafhumnya: “Manusia akan terus berada dalam kebaikan selagi mereka terus menyegerakan berbuka.” (Riwayat Bukhari dan Muslim)
Kita juga tidak berkata kotor, mencela, menipu, mengumpat dan menghasut. Kita menahan syahwat dan godaannya. Kita juga menjaga hati daripada sifat keji seperti dengki. Tapi, mengapa disiplin seperti ini tertanggal pada bulan selainnya?


















