Runtuh akhlak, runtuh umat

Akhlak adalah suatu fenomena kemanusiaan yang tidak terpisah daripada kehidupan. Masyarakat tidak beragama sekalipun dikatakan masih ada norma atau nilai akhlak yang menjadi identiti mereka.

Dalam Islam, penjelasan mengenai akhlak sangat terperinci dan menyeluruh.

Akhlak yang mulia sangat ditekankan kepada setiap individu, baik di peringkat kanak-kanak, remaja mahupun dewasa.

Contoh ikutan terbaik adalah junjungan besar Nabi Muhammad SAW. Firman Allah dalam surah al-Ahzab, ayat 21 bermaksud: “Demi sesungguhnya, adalah bagi kamu pada diri Rasulullah itu contoh ikutan yang baik…”

BAGAIMANA PEMBENTUKAN AKHLAK

Menurut pengkaji, akhlak yang baik terbentuk melalui pelbagai faktor. Semakin banyak faktor itu terkumpul dalam proses pembentukan, semakin mudah dan cepat menghasilkan akhlak berkenaan.

Faktor itu pula berbeza dari segi kuat atau lemahnya pengaruh kepada pembentukan. Pada kesempatan ini kita lihat dua faktor, iaitu keturunan dan persekitaran.

Faktor keturunan

Dimaksudkan dengan keturunan ialah perpindahan beberapa sifat tertentu yang khusus (menyebabkan adanya keserupaan) daripada ibu bapa atau datuk nenek kepada zuriat keturunannya.

Berhubung dengan hal ini, kita boleh perhatikan kepada hadis diriwayatkan al-Bukhari, sabda Rasulullah SAW, mafhumnya: “Kalau tidak kerana Hawa itu, nescaya perempuan tidak mengkhianati suaminya.”

Menurut ulama, dimaksudkan dengan khianat di sini bukanlah melakukan perkara keji (al-fahsyat), tetapi menerima pujukan dan tipu daya Iblis supaya makan buah dari pohon khuldi.

Berdasarkan kepada hakikat ini, Islam menganjurkan:

* Bakal isteri memilih suami yang mempunyai nilai akhlak baik.

* Bakal suami memilih isteri solehah dan mempunyai nilai agama.

* Menasihatkan ibu bapa agar segera menikahkan anaknya dengan orang yang mempunyai nilai akhlak dan agama.

* Menasihati mereka supaya menikahi perempuan yang subur melahirkan anak.

* Melarang menikahi perempuan yang tidak menjaga kehormatan diri.

Nasihat dan panduan itu antara lain mempunyai tujuan yang ada kaitannya dengan faktor keturunan dalam pembentukan akhlak.

Faktor persekitaran

Merujuk kepada segala sesuatu yang berada di sekeliling dan memberi kesan kepada kehidupan seseorang, sama ada secara langsung ataupun tidak langsung, sejak dari dalam kandungan hinggalah ke akhir hayat.

Persekitaran merangkumi kedudukan geografi atau tempat didudukinya, rumah tangga yang terdiri daripada ibu bapa dan anggota keluarga yang lain serta masyarakat di sekelilingnya.

Mengenai faktor tempat, Ibnu Khaldun mengemukakan pendapatnya, bahawa tempat tinggal mempunyai kesan dan pengaruh kepada sifat sesuatu bangsa walaupun kesan daripada faktor itu amat kecil.

Berkenaan faktor keluarga, ia dikenal pasti sebagai faktor terpenting. Kajian psikologi kanak-kanak memperlihatkan betapa besarnya kesan keluarga. Sifat suka meniru pada jiwa kanak-kanak adalah jalan awal terpenting dalam proses pembelajaran mereka.

Sekiranya jalan ini dimanfaatkan sebaik-baiknya oleh keluarga dalam membentuk dan mendidik kanak-kanak, sudah pasti akan memberikan hasil yang amat berkesan dalam pendidikan akhlak.

Malah pembentukan pada peringkat ini akan terukir pada jiwa yang kesannya akan dirasakan pada peringkat dewasa kelak.

Kanak-kanak yang dibesarkan dalam keluarga berakhlak mulia, apabila remaja akan mempamerkan akhlak terpuji seperti menghormati dan mentaati orang tua, malah menjaga adab dalam setiap tingkah lakunya.

Imam al-Ghazali berkata: “Kanak-kanak adalah amanah Allah kepada ibu bapa.

Hatinya yang masih bersih adalah mutiara berharga yang sedia menerima untuk dibentuk dan digilap.” 

Pujangga pernah berkata: “Kekalnya umat kerana kekal akhlaknya. Apabila lenyap dan runtuh akhlaknya, runtuh dan lenyaplah umat.”