Tabung Kanak-kanak Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNICEF) mengumumkan, seorang daripada setiap lima kanak-kanak di Afghanistan terbabit dalam buruh kanak-kanak, lapor Tolonews.
Menurutnya, UNICEF serta Kementerian Buruh dan Hal Ehwal Sosial menegaskan komitmen mereka untuk melindungi kanak-kanak di negara itu.
Omidurrahman Fazel, jurucakap UNICEF di Afghanistan, dilaporkan berkata: “Tanpa mengira sebabnya, UNICEF komited untuk menamatkan semua bentuk buruh kanak-kanak dalam apa jua bentuk. Oleh itu, UNICEF menekankan penyelesaian berasaskan keluarga untuk isu ini.”
Namun sesetengah kanak-kanak yang bekerja dilaporkan meminta Emirat Islam Afghanistan untuk menyediakan peluang pendidikan dan keadaan hidup lebih baik.
Sahel, seorang buruh kanak-kanak, dilapor berkata: “Ada hari apabila saya datang untuk mencari pekerjaan, tiada apa-apa, jadi saya terpaksa ponteng sekolah dan bekerja. Jika saya pergi ke sekolah, saya tidak boleh bekerja. Pekerjaan ini tidak mempunyai masa depan, tetapi sekolah ada.”
Ali Dad, seorang lagi buruh kanak-kanak, dilaporkan berkongsi: “Saya berharap untuk pergi ke sekolah, tetapi saya tidak boleh kerana kemiskinan.”
Walaupun Kementerian Buruh dan Hal Ehwal Sosial belum mengeluarkan statistik rasmi mengenai jumlah kanak-kanak yang bekerja di negara itu, ia dilaporkan telah menekankan usaha berterusannya untuk menyokong perlindungan kanak-kanak.
Samiullah Ebrahimi, jurucakap kementerian, dilapor berkata: “Jawatankuasa perlindungan kanak-kanak telah ditubuhkan di seluruh negara untuk menangani masalah dihadapi kanak-kanak. Kementerian sedang berusaha untuk menyokong mereka yang memerlukan.”
Tolonews melaporkan, menurut statistik dikeluarkan oleh Save the Children pada awal 2024, bilangan buruh kanak-kanak di Afghanistan telah meningkat sebanyak 38% berbanding tahun-tahun sebelumnya.


















