Sekurang-kurangnya 13 orang disahkan maut dan beberapa lagi hilang pada Sabtu selepas tanah runtuh dicetuskan hujan lebat melanda kampung-kampung di Elgeyo Marakwet County, barat Kenya, kata pihak berkuasa, menurut berita Xinhua.
Kementerian Dalam Negeri dan Pentadbiran Nasional dilaporkan berkata, tanah runtuh berlaku semalaman di kawasan Endo, Sambirir dan Embobut susulan hujan lebat, memusnahkan rumah, menumbangkan pokok dan memotong jalan akses utama.
“Setakat ini, 13 mayat telah dikeluarkan, sementara usaha mencari dan menyelamat diteruskan dalam keadaan sukar,” kementerian itu dilaporkan berkata dalam satu kenyataan.
Sembilan belas mangsa terselamat dilaporkan telah diselamatkan dan beberapa orang yang cedera sedang menerima rawatan di hospital tempatan.
Operasi menyelamat telah terhalang oleh tanah runtuh yang berterusan di sepanjang laluan akses.
Kerajaan telah mengerahkan sokongan udara, pasukan kecemasan dan responder (pasukan tindakan) pertama bagi membantu pemindahan, bantuan perubatan dan pengawasan.
Komander Polis Daerah Elgeyo Marakwet, Zablon Okoyo dilaporkan berkata hujan lebat telah mencetuskan tanah runtuh, runtuhan batu, dan banjir di beberapa bahagian daerah itu sejak petang Jumaat.
Menurut Okoyo, jalan raya dan rumah telah dihanyutkan, menyebabkan beberapa laluan tidak dapat dilalui, sementara kerajaan daerah telah menggerakkan ambulans dan kakitangan perubatan dari kawasan jiran untuk menyokong tindak balas.
Persatuan Palang Merah Kenya dilaporkan berkata, pasukannya telah diaktifkan untuk menilai keadaan, menjalankan operasi menyelamat, dan menyokong keluarga terjejas.
Jabatan Meteorologi Kenya telah memberi amaran, hujan lebat dijangka berterusan di beberapa wilayah, meningkatkan risiko banjir kilat dan tanah runtuh, terutama di kawasan berbukit dan sungai.
Usaha sedang dijalankan bagi memulihkan rangkaian jalan raya yang musnah bagi memudahkan akses untuk operasi kecemasan dan bantuan.
Menurut pakar cuaca, wilayah itu telah mengalami bencana serupa pada masa lalu, yang sering dikaitkan dengan peningkatan penggunaan tanah dan pemuliharaan tanah yang lemah, yang telah menyebabkan rupa bumi lebih terdedah kepada hakisan dan tanah runtuh semasa tempoh hujan lebat.











