Sekurang-kurangnya lima rakyat Palestin terbunuh dan beberapa lagi cedera pada petang Jumaat dalam serangan artileri Israel ke atas sebuah sekolah untuk orang terlantar di kawasan kejiranan Tuffah, timur bandar Gaza, lapor Xinhua memetik Pertahanan Awam Gaza.
Mahmoud Basal, jurucakap Pertahanan Awam, dilapor berkata sekolah itu diserang ketika orang awam berada di dalam untuk majlis perkahwinan.
Basal berkata sekolah itu, yang terletak dekat hospital, diserang berterusan, yang melambatkan ketibaan pasukan penyelamat.
Bedilan tambahan yang dilepaskan selepas serangan awal memburukkan lagi keadaan, tambahnya, sambil menyatakan kebanyakan yang mati adalah kanak-kanak.
Basal mengutuk serangan ke atas sekolah dan tempat perlindungan orang awam sebagai pelanggaran serius undang-undang antarabangsa, menyeru masyarakat antarabangsa untuk melindungi orang awam.
Sumber tempatan melaporkan kereta kebal Israel meneruskan membedil timur Tuffah, menghalang ambulans daripada sampai ke lokasi selama berjam-jam, menurut Xinhua.
Menurut Xinhua, Pasukan Pertahanan Israel (IDF) berkata dalam satu kenyataan pada malam Jumaat bahawa “semasa aktiviti operasi di kawasan itu … beberapa individu yang mencurigakan telah dikenal pasti dalam struktur perintah di barat Garisan Kuning”.
“Tidak lama selepas pengenalpastian, tentera melepaskan tembakan ke arah individu yang mencurigakan untuk menghapuskan ancaman itu,” katanya, sambil menambah, “IDF menyedari dakwaan mengenai korban di kawasan itu, dan butirannya sedang dikaji semula.”











