Taiwan memindahkan lebih 8,300 orang menjelang ketibaan Taufan Fung-wong yang semakin lemah pada Rabu, membawa hujan lebat memecah rekod ke pantai timur pergunungan dan menyebabkan banjir, menurut Reuters.
Perniagaan dan sekolah dilaporkan ditutup di kebanyakan kawasan selatan pulau itu, dengan 51 orang cedera.
Dilaporkan, imej televisyen menunjukkan banjir teruk di beberapa bahagian di daerah timur Yilan yang sebahagian besarnya luar bandar.
Lebih 1,000 rumah dibanjiri di pekan pelabuhan Suao yang menerima 648 mm (25 inci) hujan pada Selasa, satu rekod untuk bulan itu, pegawai cuaca dilapor berkata.
“Air masuk dengan begitu cepat,” nelayan Hung Chun-yi dilapor berkata, yang menghabiskan malam membersihkan lumpur dari rumahnya, selepas tingkat pertamanya ditenggelami air sedalam 60 cm (2 kaki).
“Hujan turun dengan begitu lebat, dan begitu pantas, saliran tidak dapat menahannya.”
Penduduk lain juga berusaha membersihkan lumpur dari rumah-rumah yang dibanjiri air di Suao, walaupun hujan lebat telah berhenti.
Jabatan bomba dilapor berkata kira-kira 8,300 orang telah dipindahkan dari rumah mereka ke kawasan lebih selamat, kebanyakannya di Yilan dan Hualien yang berdekatan, di mana monsun dari utara telah meningkatkan hujan dengan taufan yang lewat di luar musim.
“Musim panas semakin panjang dan taufan tiba lebih lewat,” Huang En-hong, seorang peramal cuaca di Pentadbiran Cuaca Pusat Taiwan dilapor berkata.
Perubahan iklim boleh menyebabkan peristiwa cuaca ekstrem yang serupa, tetapi lebih banyak kajian diperlukan untuk menentukan trend, tambahnya.
Menurut Reuters, Fung-wong diramalkan akan melanda hujung selatan Taiwan lewat Rabu sebelum menuju ke Lautan Pasifik.











