Sekurang-kurangnya tiga orang terbunuh dan beberapa lagi cedera selepas gempa bumi berukuran 5.7 pada skala Richter melanda Bangladesh pada Jumaat, kata polis, dengan bangunan rosak di banyak kawasan termasuk Dhaka, ibu kota yang padat penduduknya, menurut laporan Reuters.
Menurut Reuters, Kajian Geologi Amerika Syarikat (USGS) berkata, pusat gempa bumi di bandar Narsingdi, kira-kira 40 km (25 batu) timur Dhaka.
Tiga orang terbunuh apabila pagar bangunan enam tingkat runtuh semasa gempa bumi, kata polis, menurut Reuters.
“Kami merasakan hentakan yang kuat dan bangunan bergegar seperti pokok,” kata Suman Rahman, seorang penduduk Dhaka, menurut Reuters.
“Tangga tersekat apabila orang ramai bergegas turun. Semua orang ketakutan, kanak-kanak menangis.”
Menurut Reuters, pihak bomba melaporkan kecederaan selepas batu bata dan simen longgar jatuh dari bangunan yang sedang dalam pembinaan.
“Saya tidak pernah berasa gegaran seperti itu dalam hidup saya. Kami berada di pejabat apabila perabot mula bergegar. Kami bergegas menuruni tangga ke jalan dan melihat orang lain sudah pun di jalan raya,” Sadman Sakib, yang bekerja di sebuah firma swasta di Dhaka dilapor berkata.











