Tiga pendaki, termasuk seorang warga asing, terbunuh dan lapan lagi hilang selepas runtuhan salji melanda ekspedisi pendakian di puncak Himalaya di Nepal, kata polis pada Isnin, Reuters melaporkan.
Antara mereka yang hilang di gunung Yalung Ri Himal itu, yang menjulang setinggi 5,630 meter (18,470 kaki) di daerah Dolakha di timur laut Kathmandu, adalah lima warga asing, pegawai polis Gyan Kumar Mahato dilaporkan berkata kepada Reuters.
Kewarganegaraan mangsa yang maut atau warga asing yang hilang tidak diketahui dengan segera.
Empat pendaki yang cedera dipindahkan ke sebuah kampung berdekatan dan pencarian pendaki yang hilang, termasuk dengan helikopter, sedang diteruskan, Mahato dilapor berkata.
“Kami juga telah menghantar pasukan mencari dan menyelamat darat dari tentera dan polis dan sedang menunggu (perkembangan).”
Yalung Ri terletak di Lembah Rolwaling di timur laut Nepal dan pendaki di sana menemui campuran batu, ais dan salji.











