Presiden Amerika Syarikat (AS) Donald Trump berkata pada Isnin, adalah bijak bagi Presiden Venezuela Nicolas Maduro untuk meninggalkan kuasa, dan AS boleh menyimpan atau menjual minyak yang telah dirampasnya di luar pantai Venezuela dalam beberapa minggu kebelakangan ini, menurut laporan Reuters.
Kempen tekanan Trump ke atas Maduro termasuk peningkatan kehadiran tentera di rantau itu dan lebih daripada dua dozen serangan tentera ke atas kapal yang didakwa mengedar dadah di Lautan Pasifik dan Laut Caribbean dekat negara Amerika Selatan itu, lapor Reuters, sekurang-kurangnya 100 orang telah terbunuh dalam serangan itu.
Ditanya sama ada matlamatnya adalah untuk memaksa Maduro turun dari kuasa, Trump dilapor memberitahu pemberita: “Baiklah, saya fikir mungkin… Terpulang kepadanya apa yang dia mahu lakukan. Saya fikir adalah bijak baginya untuk berbuat demikian. Nanti, kita akan mengetahuinya.”
“Jika dia mahu melakukan sesuatu, jika dia bermain dengan tegas, ia akan menjadi kali terakhir dia dapat bermain dengan tegas,” katanya.
Menurut Reuters, semasa sidang akhbar itu, Trump turut membidas Presiden Colombia Gustavo Petro, yang turut berseteru dengannya sepanjang tahun.
“Dia bukan kawan kepada Amerika Syarikat. Dia sangat jahat. Lelaki yang sangat jahat. Dia perlu berwaspada kerana dia membuat kokain dan mereka menghantarnya ke AS,” kata Trump apabila ditanya mengenai kritikan Petro terhadap cara pentadbiran Trump menangani ketegangan dengan Venezuela.











