Sekurang-kurangnya 25 orang, termasuk tiga kanak-kanak, terbunuh dan 73 yang lain cedera selepas serangan Rusia melanda bangunan kediaman di bandar Ternopil di barat Ukraine pada pagi Rabu, kata pihak berkuasa, menandakan salah satu serangan paling maut dalam beberapa bulan kebelakangan ini, menurut berita Anadolu.
Perkhidmatan Kecemasan Negeri Ukraine dilapor berkata, lebih 160 penyelamat bekerja di tempat kejadian dengan kira-kira 45 unit peralatan, termasuk sistem robotik.
Menteri Luar Andrii Sybiha mengecam serangan itu, berkata tindakan Rusia menunjukkan bagaimana “rancangan keamanannya kelihatan dalam realiti”.
Sementara itu, Tentera Udara Ukraine dalam satu kenyataan dilapor berkata, Rusia melancarkan 48 peluru berpandu dan 476 dron dari beberapa arah, dengan sasaran utama adalah wilayah Lviv, Ternopil dan Kharkiv.
Ia dilapor berkata, pasukan pertahanan udara menembak jatuh atau menumpaskan 483 daripada 524 aset serangan udara yang dikesan, termasuk 442 dron, 34 peluru berpandu jelajah Kh-101 dan tujuh Kalibr.
Menurut Anadolu, pegawai tentera udara berkata serangan itu bermula pada petang Selasa dan melibatkan dron jenis Shahed, UAV jenis Gerbera dan peluru berpandu jelajah yang dilancarkan dari wilayah Rusia dan dari Crimea yang diduduki.
Tujuh peluru berpandu dan 34 dron serangan melanda 14 lokasi, manakala serpihan yang jatuh direkodkan di enam kawasan, menurut laporan Anadolu.
Menurut Anadolu, Rusia mendakwa tenteranya melakukan “serangan besar-besaran dengan senjata ketepatan jarak jauh” ke atas kemudahan industri ketenteraan dan tenaga Ukraine di wilayah barat.
Kementerian Pertahanan dilapor berkata serangan itu, termasuk peluru berpandu hipersonik Kinzhal dan serangan UAV, dilakukan “sebagai tindak balas” kepada apa yang dipanggil serangan Ukraine ke atas tapak awam di Rusia.











